Nilai RM1

Dengan RM1 pada zaman kini, kita boleh mendapatkan sekeping roti canai, secawan air teh o panas atau sebungkus roti berperasa. Pada harga yang sama, rakyat Malaysia biasa tanpa pengecualian caj (kanak-kanak, warga emas, pesara, OKU dsb) layak mendapatkan rawatan kesihatan dari fasiliti kesihatan kerajaan untuk pemeriksaan kesihatan asas. Murah bukan?

Bagi yang berfikir lebih jauh, untungnya menjadi warganegara Malaysia, dapat menikmati kelebihan sebegini apabila sakit. Dari golongan berpendapatan rendah ke golongan berpendapatan tinggi, semua dapat menikmati kemudahan subsidi perubatan pada harga yang sama. Jadi, semuanya layak mendapatkan layanan yang sama daripada kakitangan yang bertugas memberikan rawatan.

Namun, ada segolongan individu yang menganggap mereka adalah ‘Very Imported Person’ yang perlu dilayan bak seseorang dari keturunan Diraja. Sedangkan dalam operasi sesebuah organisasi terdapat ‘Standard Operating Procedure’ dan Pekeliling Perkhidmatan yang perlu dipatuhi, kadangkala kakitangan kerajaan berada dalam keadaan tersepit di antara mematuhi arahan perkhidmatan dan menjaga hati pelanggan.

Contohnya, terdapat pelanggan dari golongan berkemampuan yang kebiasaannya pergi melancong ke luar negara untuk tempoh sehingga 6 bulan meminta untuk dibekalkan dengan ubat yang mencukupi sehingga beliau pulang ke Tanah Air. Wajarkah permintaan mereka dipenuhi dalam keadaan kekangan peruntukan yang sedang dihadapi pada masa kini? Apabila permintaan mereka ditolak, mereka akan bertanya bagaimanakah mereka dapat mengawal keadaan penyakit mereka dalam tempoh mereka berada di luar negara.

Selain itu, ada pelanggan yang suka meminta diberi bekalan ubat tambahan seperti meminta nasi tambah ketika makan walhal sebagai golongan yang berkemampuan, mereka boleh mendapatkan bekalan tambahan itu dari farmasi komuniti terdekat.

Sudahlah begitu, ada pelanggan yang sangat ‘baik hati’ memulangkan lebihan ubat yang mereka tidak mampu habiskan kerana mereka berasa ubat yang mereka terima adalah hak mereka yang tidak perlu difikirkan akan nilainya yang mahal. Pembaziran berlaku apabila ubat yang dipulangkan telah rosak, telah tamat tarikh luput dan tidak dapat digunakan semula.

Lebih mendukacitakan, catuan bekalan ubat terpaksa dilakukan apabila perolehan ubat tidak dapat dilakukan dalam keadaan ketiadaan peruntukan. Sikap sebegini bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada negara, ianya juga mencerminkan bahawa rakyat Malaysia masih di takuk yang lama – Kerajaan perlu sentiasa memberi kepada rakyat.

Sudah tiba masanya rakyat ini dididik untuk menghargai kemudahan yang disediakan. Guna kemudahan ikut kelayakan. Sewajarnya golongan berkemampuan mendapatkan rawatan di fasiliti swasta yang turut menyediakan perkhidmatan berkualiti dengan memanfaatkan sistem Takaful yang ditawarkan. Malaysia harus bergerak seiring dengan negara lain yang menawarkan perkhidmatan berdasarkan kelayakan pendapatan seseorang.

WaAllahualam.

CBR

 

 

Tell me your view

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s